Sejarah Pembukaan Kampung Pulau Semut (Mukim Sungei Baru Ulu)

 

Sejarah asal kampung ini bermula daripada Kampung Solok Duku yang telah dipecahkan kepada beberapa kampung iaitu Kampung Pulau Semut dan Jalan Paya Keladi. Pada asalnya, nama Kampung Pulau Semut adalah Batu Hampar. Nama asalnya bermula daripada beberapa peristiwa lucu yang berlaku pada kampung ini, iaitu terdapat anak-anak muda kampung dan anak-anak kampung berhampiran yang gemar menjadikan aktiviti mengendap sebagai satu hobi. 

Disebabkan kerja-kerja mengendap yang dilakukan, tanpa disedari kaki mereka dihurung dan digigit oleh semut. Perkara berikut berlaku berulang kali hinggalah pada suatu hari berkumpullah orang-orang tua yang diketua oleh Ali Nojo. Mereka telah berpakat untuk mengubah nama Batu Hampar kepada Pulau Semut. Selain itu, keadaan muka bumi kawasan kampung ini yang dikelilingi oleh sawah bendang memperlihatkan seolah-olah kampung ini menjadi sebuah pulau.

Maka setelah mendapat persetujuan ramai, nama Batu Hampar ditukarkan kepada Pulau Semut dan ianya kekal sampai ke hari ini.  Pada asalnya, kampung ini mula diterokai daripada kawasan hutan dan semak samun dan pada waktu itu hanya terdapat 3 buah rumah sahaja dan rumah tersebut juga kekal sampai ke hari ini. Rumah tersebut kini diduduki oleh cicit tuan rumah yang asal. Keluasan kampung ini adalah lebih kurang 10, 000 ekar persegi. Kampung ini juga terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Melaka dan 2.5 kilometer dari Pekan Masjid Tanah serta dari Tanjung Bidara dan Sungai Udang ialah 6 kilometer.