WANITA

Sejajar dengan saranan kerajaan Malaysia bagi mewujudkan rakyat yang maju dan berdaya saing dalam pelbagai aspek. Justeru, golongan wanita kampung ini mengambil inisiatif berdasarkan saranan kerajaan dengan mengambil pendekatan mengajar dan menjalankan aktiviti yang dapat membantu golongan ini dalam menambahkan pendapatan mereka, di samping dapat mengisi masa lapang dengan menjalankan aktiviti yang dirancang oleh pergerakan Wanita Kampung Pulau Semut. Antara aktiviti yang dijalankan ialah seperti mempelajari cara-cara dan kaedah membuat kraftangan seperti membuat bakul, tikar dan sebagainya.

Di samping itu, persatuan ini juga turut mengadakan kelas-kelas memasak bagi menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang masakan. Objektif lain penubuhan persatuan ini juga ialah untuk merapatkan hubungan dalam kalangan penduduk kampung, di samping mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan penduduk kampung ini tanpa mengira pangkat, darjat mahupun umur. Segala aktiviti ini dijalankan pada setiap hari Khamis setiap minggu. Hari Khamis dipilih kerana ia merupakan hari yang telah dipersetujui oleh semua ahli persatuan wanita kampung ini.

Persatuan Wanita Kampung Pulau Semut, merupakan salah satu persatuan yang bergerak di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Segala aktiviti yang dijalankan akan direkod oleh ahli jawatankuasa persatuan tersebut. Segala program dan aktiviti yang dirancang dan diprogramkan akan diselaraskan supaya tidak berlaku pertindihan dengan aktiviti lain yang dirancang untuk penduduk kampung ini.