Masjid Tanah suatu ketika dahulu dikenali sebagai sebuah pekan kecil, kini Masjid Tanah telah bertukar menjadi sebuah bandar di dalam daerah Alor Gajah yang terletak di utara Negeri Melaka. Asal usul nama Masjid Tanah ini adalah bersempena dengan kewujudan masjid yang terletak di tengah-tengah pekan yang terdiri daripada tanah dan di tepian sungai. Pada zaman itu, Masjid Tanah dikenali sebagai pekan hab-perdagangan yang dibawa dari Kota Melaka ke daerah-daerah sekitar utara Negeri Melaka. Masjid Tanah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang penduduk utamanya adalah berbangsa melayu. Disebabkan kedudukannya yang terletak didalam Daerah Alor Gajah dan berdekatan dengan sempadan Negeri Sembilan, sebilangan besar dari penduduk Masjid Tanah bertutur dengan loghat Negeri Sembilan atau dikenali loghat Minang.